Fabrik batik elegan untuk Eja
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Michael Shu reka fesyen bagi digayakan pada malam ABPBH 2006
SELAIN
keputusan siapa paling popular, acara kemuncak Anugerah Bintang Popular
Berita Harian (ABPBH) 2006 di Arena of Stars, Genting Highlands, Ahad
ini juga tidak syak lagi adalah medan untuk finalis dan selebriti yang
diundang menggayakan fesyen terkini rekaan pereka tempatan, mahupun
luar negara.
Bagi pereka sendiri, acara permaidani merah yang diadakan sebelum
majlis sebenar bermula, menjadi medan terbaik buat mereka menayangkan
rekaan terbaik. Lama atau baru, mereka menantikan saat gemerlapan itu
tatkala selebriti popular menggayakan busana glamor ilham rekaan
masing-masing.
Pereka fesyen, Michael Shu tidak ketinggalan ingin mengetengahkan
gaun rekaan terbaru lagi eksklusif pada acara anugerah yang akan
berlangsung dalam suasana penuh gemilang itu nanti. Dia yang dikenali
kerana penggunaan fabrik batik akan menyempurnakan penampilan aktres
popular, Eja, yang juga calon akhir kategori Pelakon TV Wanita Popular.
Pada Anugerah Skrin Ke-8 yang baru berlalu, Eja turut mengenakan
rekaan menarik Michael, antara nama yang menyerlah tatkala menyertai
Piala Seri Endon, dua tahun lalu.
Hasil perbincangan kedua-duanya, sehelai gaun yang ringkas dari
segi potongan, tetapi menggunakan fabrik mewah dipersetujui untuk
dikenakan aktres jelita ini.
Eja mengaku, dia bukanlah seorang wanita yang suka
berlebih-lebihan dan terlalu seksi apabila bergaya. Katanya, seseorang
itu tidak perlu memakai pakaian yang terlampau seksi hanya untuk
kelihatan glamor. Sebaliknya dia percaya pada kesederhanaan dalam
penampilan. Bukan bermakna mengenakan pakaian ala kadar, tetapi rekaan
yang dipadankan di tubuh, biarlah selesa dan sesuai dengan diri.
“Biarlah potongannya nampak ringkas, tetapi elegan dan fabriknya
pula adalah daripada jenis mewah. Dengan baju berlengan hingga ke siku
dan kain kembang, rasanya ia sesuai untuk tubuh Eja yang kurus ini.
Jika ditanya fabrik bagaimana yang Eja suka, selalunya untuk menghadiri
majlis besar, Eja mengenakan pakaian dari kain sifon dan renda
Perancis, disertakan dengan sulaman manik,” katanya.
Gaun itu pula, kata Eja, akan nampak lebih menyerlah setelah
digayakan dengan kasut, beg tangan, solekan dan dandanan serta barangan
perhiasan yang sesuai.
Teringin melihat keanggunan pelakon ini di permaidani merah?
Nantikan saja kemunculannya bersama puluhan finalis popular lain pada
acara kemuncak ABPBH’06 nanti.
Berlakon dalam filem Malaikat Maut
SELEPAS muncul di pawagam menerusi filem Misi: 1511, pelakon yang
banyak menghiasi layar kecil televisyen dengan lakonan drama dan
telefilem ini kembali ke lokasi filem. Kali ini, dia membintangi pula
filem arahan Bade Azmi berjudul Malaikat Maut. Sebelum itu, Eja
terlebih dulu menyudahkan penggambaran filem Kayangan, terbitan Raden
Pictures Sdn Bhd.
Kata wanita menawan ini, Malaikat Maut mengandungi tiga cerita
berbeza dan dia terbabit dalam kisah ketiga - cerita terakhir dalam
filem terbitan Tayangan Unggul itu. Ketiga-tiga kisah yang pula tidak
mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Eja terima tawaran berlakon dalam Malaikat Maut kerana mesejnya
yang kuat. Kisahnya insya-Allah akan memberikan keinsafan kepada kita
semua. Watak yang Eja lakon itu bukannya sukar, tetapi mesej yang baik
itulah menyebabkan Eja tidak teragak-agak untuk menerimanya,” ujar
pelakon ini mengenai filem yang ditulis sendiri Bade.
Menerusi filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur
itu, dia berlakon di samping Que Haidar, Awal Ashari, Hasnol Rahmat dan
Hamidah Wahab. Manakala Kayangan pula menyaksikannya beraksi di samping
pelakon Indonesia, Teuku Zacky dan aktres muda berbakat besar, Fazura.
“Filem Kayangan sebenarnya memberikan Eja ruang melakonkan watak
yang belum pernah Eja pegang di layar perak. Eja diberi peranan seorang
wanita berkerjaya baik, tetapi bersikap angkuh dan suka membuli.
Penampilan Eja sendiri agak lain kali ini, seperti solekan, gaya rambut
dan cara berpakaian. Eja sendiri teruja untuk melihat hasilnya nanti,”
cerita wanita peramah ini.
Bersama dua filem berkenaan berkemungkinan besar menemui penonton
tahun ini atau awal tahun depan, Eja berharap, tuahnya dalam industri
perfileman akan tiba juga. Sehingga kini, tiada siapa dapat menolak
kenyataan nama Eja lebih gah di layar kecil televisyen berbanding
lakonan filem.
Selain Misi: 1511, Kayangan dan Malaikat Maut yang masih rancak
menjalani penggambaran, Eja juga membintangi filem Bilut, Anak Mami The
Movie dan Sara. Februari ini, Eja akan muncul dalam drama bersiri 20
episod, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya menerusi RTM.
Menerusi drama arahan Nurhalim Ismail itu, Eja bergandingan dengan
beberapa nama popular lain seperti Arash Mohamad, Zul Huzaimy dan Betty
Benafe. Di samping itu, pelakon yang sentiasa tampil anggun ini akan
muncul menerusi program 13 episod berjudul Harga Sebuah Perkahwinan,
selaku pengacara.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


