15 Ogos 2007
2 Syaaban 1428
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 

 hiburan

Filem cinta dari kayangan

JIKA dilihat secara keseluruhan, cerita dan garapan filem ini sangat ringan. Ia bercerita tentang pertemuan dua insan daripada latar berbeza yang kemudian dibumbui cinta. Seorang kerabat diraja dan seorang gadis kampung.

Terus terang, sudah berkali-kali cerita seperti itu diputarkan di layar perak.

Tentu saja anda wajar skeptikal dengan tajuk dan plot Kayangan. Hati pun mula bergelodak memikirkan, argh! Sampai bila filem kita akan maju jika saban masa disogokkan dengan filem ringan yang berterusan membuai mimpi? Ironi sekali, anda barangkali akan ‘memaafkan’ Kayangan untuk itu, usai menontonnya.

Barangkali penerbit iaitu orang ‘kayangan’ Negeri Sembilan wajar berterima kasih dengan sutradara Raja Ahmad Alauddin.

Untuk Kayangan, pengarah tersebut barangkali tidak bercita-cita tinggi seperti ketika membikin Hati Bukan Kristal atau Qaisy & Laila. Kekurangan pada bahagian tersebut bagaimanapun memperkemaskan Kayangan. Kisah seperti itu seharusnya jadi manis dan berbunga-bunga.

Garapannya cukup ringan, alur cerita dikemas bersahaja malah sesekali penonton sengaja dilibatkan dalam filem ini dengan menghadirkan sentuhan cerita yang sememangnya sering terjadi dalam kehidupan sehari-hari.

Tentu saja sutradara mampu menghidupkan cerita dari kayangan ini dengan baik. Beberapa adegan lucu yang muncul membuat penonton tertawa. Tanpa adegan yang slapstik, ia meletakkan Kayangan dalam kelasnya.

Filem yang menelan belanja RM1.4 juta ini mengutarakan tema cinta berlainan darjat, antara golongan kerabat diraja dengan rakyat biasa.

Di belakang Kayangan adalah Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman selaku penerbit dan pencetus idea.

Kayangan juga merupakan ‘kelahiran’ sulung Raden Pictures milik Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Jaafar dan Mimi Wahida.

Kayangan bermula apabila takdir mempertemukan gadis desa bernama Maseira (Nur Fazura Sharifuddin) dan putera raja bernama Tengku Amir (lakonan pelakon Indonesia, Teuku Zacky).

Apa yang mendatang di luar jangkaan dan takdir menduga dua insan berlainan darjat dan kedudukan ini. Maseira, gadis kampung dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan graduan jurusan Sains Kemanusiaan.

Dia sangat idealistik, sinikal dan lebih rela bekerja di bengkel ayahnya daripada menjadi mangsa kapitalisme di kota-kota besar. Sementara Tengku Amir dari golongan kerabat diraja berpangkat Ketua Pegawai Eksekutif di Regalia Sdn. Bhd.

Dia tampan dan bijak, malah menjadi idaman ramai. Namun setakat ini hatinya setia pada kekasih yang rupawan iaitu Erina, seorang peragawati terkenal yang sombong.

Satu insiden mempertemukan Tengku Amir dan Maseira di kampungnya.

Terhutang budi, Tengku Amir mengajak Maseira bekerja di syarikatnya. Maseira mula didedahkan dengan dunia metropolitan yang serba mencabar.

Kelangsungan daripada pertemuan tersebut bagaimanapun menimbulkan suasana yang tegang kerana perselisihan pendapat dan latar belakang kehidupan yang berbeza.

Walaupun bibit-bibit cinta mula berputik, tetapi Tengku Amir dan Maseira terpaksa memendam perasaan tetapi kerana apa?

Adakah taraf kehidupan menjadi satu halangan? Atau mampukah cinta membawa ke ’sana’? Selain pelakon sinetron Indonesia, Teuku Zacky dan Fazura, Kayangan juga menggandingkan lakonan Nazril Idrus, Dynaz, Bienda, Ziela Jalil, Jalil Hamid, Dee, Opie Zami, Louisa Chong dan Mustafa Kamal.

Pengemasan cerita ini memang cukup menarik, apatah lagi di sepanjang filem, sesekali diselitkan beberapa adegan yang cukup lucu. Bahkan beberapa lagu sengaja dihadirkan untuk mendukung beberapa adegan yang muncul dalam filem ini. Album runut bunyi Kayangan menerima sentuhan komposer Ajai.

Agak bijak apabila drama percintaan bersulam komedi ini sengaja dikemas seringan mungkin oleh sang sutradara sehingga filem ini benar-benar menjadi filem yang menghibur bagi keluarga.

Pun begitu, Kayangan barangkali akan lebih menarik jika tanpa kehadiran banyak subplot yang ada kalanya mengalih tumpuan penonton daripada kisah cinta Tengku Amir dan Maseira.

Selain itu kesan dabing penuh kelemahan terutama suara layar Zacky. Ia agak membingitkan.

Lainnya, Kayangan tetap filem ringan yang boleh digelar ‘filem bertih jagung’, ketika penonton boleh berhibur dan bersantai. Barangkali juga ada yang terbuai- buai mimpi indah di kayangan usai menonton filem ini dan sekali sekala apa salahnya, bukan?

 

Menarik:



Iklan:

Khas:

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

| Terms of Use |