15 Ogos 2007
2 Syaaban 1428
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 

 hiburan

Kayangan kisah dua darjat

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

AGAK terkhayal menonton kisah cinta dua darjat dalam filem Kayangan pada majlis pra-tonton filem itu baru-baru ini.

Ini kerana realitinya, jarang sangat kita berpeluang menyaksikan kehidupan golongan kerabat, apatah lagi untuk menjalin hubungan cinta. Kalau terjadi, ia bagaikan satu tuah.

Kayangan adalah cerita bagaimana seorang putera raja yang punya kehidupan penuh protokol bertemu seorang wanita biasa dan kemudian menemui kebahagiaan bersama.

Dengan berlatarbelakangkan pekan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan kota raya Kuala Lumpur, filem arahan Raja Ahmad Alauddin mengisahkan pertemuan tidak dijangka antara Maseira (lakonan Nur Fazura) dengan Tengku Amir (Teuku Zacky).

Perbezaan pendapat antara mereka menimbulkan konflik. Lalu Maseira yang menganggur dan hanya membantu bapanya di bengkel motor, bersetuju menerima tawaran berkerja di syarikat keluarga Tengku Amir sebagai pelatih pengurusan.

Namun tanpa disedari, Maseira semakin mesra dengan Tengku Amir yang telah memiliki teman wanita jelita bernama Erina yang merupakan seorang model.

Lalu bermulalah satu pengembaraan pelbagai emosi penonton seperti ketawa, sedih, kasihan, marah, gembira dan yang paling penting merasai keindahan bercinta bagaikan di kayangan.

Dengan memaparkan kehidupan mewah golongan aristokrat dan rakyat biasa, hubungan jalan ceritanya mencipta suasana yang menarik sungguhpun penamatnya sudah boleh dijangka.

Biarpun Kayangan diilhamkan pada sebuah fantasi yang sukar berlaku dalam kehidupan orang biasa tetapi sebenarnya dua watak utama dalam filem itu memainkan peranan amat penting.

Teuku Zacky memang meyakinkan sebagai seorang putera raja yang kehidupannya terkawal dan pada masa sama berdepan masalah kehidupan peribadinya sendiri. Cuma 15 minit pertama penonton terpaksa membiasakan diri dengan cara percakapan dan tingkah laku putera raja yang berperaturan.

Sementara Nur Fazura pula cemerlang dengan lakonannya yang bersahaja. Watak Maseira mewakili gadis biasa hari ini yang gemar menulis blog, ego dengan idealisme sendiri dan paling penting menunggang motosikal, digambarkan Fazura dengan baik. Malah, Maseira begitu selamba membawa topi keledarnya ke hulu hilir.

Ironinya, Kayangan yang akan ditayangkan kepada umum mulai 9 Ogos ini adalah filem komedi romantik yang memikat dan menghiburkan. Biarpun filem itu mempertaruhkan fantasi ringan, tetapi kekuatan skrip oleh Tunku Mimi Wahida (idea asal) bersama Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Noor

Baizura Baharuddin yang digarap dengan arahan yang wajar dipuji, menjadikan Kayangan memang seronok

ditonton.

 

Menarik:



Iklan:

Khas:

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

| Terms of Use |