myMetro » Rap

Interaksi: Pelakon hebat, kutipan kurang




Rap
ENTAH di mana silapnya apabila filem sulung terbitan Raden Pictures Sdn Bhd (RPSB), Kayangan, hanya mencatat kutipan sekitar RM300,000 dalam tempoh dua minggu tayangan, sedangkan ulasan media cukup positif manakala promosinya juga meluas.

Tidak cukup dengan itu, filem arahan Raja Ahmad Alauddin ini menyandarkan pelakon kacak dari seberang, Teuku Zacky Azwar dan pelakon jelita dan popular, Nor Fazura. Ia dikuatkan lagi dengan lakonan Eja, Dynaz, Jalil Hamid, Zali Hussein dan ramai lagi.

RPSB juga menghasilkan album runut bunyi menampilkan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan penampilan istimewa Pengarah Urusan RPSB, Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman berduet dengan komposer Ajai.

Filem yang dihasilkan dengan kos RM2 juta ini mula ditayangkan di pawagam sejak 9 Ogos lalu dan tayangannya dihentikan selepas dua minggu untuk memberi laluan kepada filem Impak Maksima yang dikatakan sudah mencecah kutipan lebih RM1 juta sejak ditayangkan Khamis lalu.

Namun, bukan Kayangan saja mengalami nasib malang dengan kutipan rendah kerana filem yang ditayangkan sebelum itu, Haru Biru, Cinta Yang Satu dan Diva turut menerima nasib sama.

Wartawan Harian Metro, RUDY IMRAN SHAMSUDIN (imran@hmetro.com.my) cuba mendapatkan pandangan Penerbit Eksekutif RPSB, Adit Rahim, mengenai perkembangan lesu filem sulung produksi mereka itu.



SOALAN (S): Mana silapnya Kayangan apabila gagal di pawagam walaupun promosi yang dilakukan secara besar-besaran?

Jawapan (J): Perkara ini payah untuk kami perkatakan kerana bimbang memberi implikasi negatif kepada pihak RPSB. Apa yang boleh saya katakan, sambutan terhadap filem sulung ini menjadi satu pengalaman dan pembelajaran untuk berjaya pada masa akan datang. Apa yang saya nampak, kebanyakan penonton filem tempatan sudah membuat persepsi sendiri mengenai Kayangan sebelum mereka datang menonton.



S: Kebanyakan pihak media memberi ulasan positif terhadap filem Kayangan. Adakah ia tidak membantu langsung?

J: Pihak media sebenarnya banyak membantu, malah ada penonton datang menyaksikan Kayangan selepas membaca ulasan yang disiarkan akhbar. Tapi ada juga yang membuat persepsi sendiri sebelum menyaksikannya dan ia satu kerugian.



S: Apa maklum balas penonton sepanjang Kayangan ditayangkan?

J: Kebanyakan penonton memuji filem ini dan mengatakan mereka sangat berpuas hati. Rata-rata mereka bersetuju dengan pendapat diberikan media bahawa filem ini begitu santai dan menghiburkan. Tidak kurang juga ada yang berkata Kayangan filem romantik komedi terbaik setakat ini. Dalam erti kata lain, ia memenuhi cita rasa penonton filem tempatan.



S: Apakah anda terkejut dengan perkembangan ini (kutipan rendah)?

J: Pada kami isu kutipan rendah sangat subjektif kerana ada filem lain membuat kutipan jauh lebih rendah berbanding Kayangan. Tidak dinafikan RPSB terkejut kerana kami menghasilkan filem yang dikehendaki penonton. Sebelum ini mereka kata mahukan filem yang santai dan menghiburkan. Paling penting, ia tidak memeningkan kepala. Sayangnya, bila kita buat filem sebegitu, orang tidak datang menonton.



S: Apa komen anda kalau dikatakan pelakon utama Kayangan, Fazura dan Teuku Zacky, sebenarnya tidak cukup kuat untuk menarik perhatian peminat filem tempatan ke panggung?

J: Bagi kami, kedua-dua pelakon itu sudah memberikan seratus peratus komitmen. Cuma mungkin strategi menggunakan pelakon yang membintangi drama satu kesilapan kerana penonton memberikan maklum balas bahawa mereka boleh menyaksikan aksi pelakon drama di televisyen, tetapi pelakon filem yang sentiasa membataskan diri berlakon dalam filem membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menyaksikan bintang kesayangan mereka di pawagam.



S: Ada faktor lain dirasakan menjadi punca kutipan rendah Kayangan?

J: Kebarangkalian besar jika pihak pawagam melanjutkan tayangan dua minggu lagi, Insya-Allah kutipan akan meningkat sebab ramai peminat menghubungi kami memberitahu filem ini ditayangkan terlalu awal, sedangkan mereka menanti gaji keluar untuk menonton wayang atau penonton sasaran seperti pelajar universiti menanti duit elaun.

Panggung wayang pula dalam waktu sama melebihkan filem antarabangsa dan Barat kerana tahu ia dihasilkan dengan kos tinggi, jadi mutunya jauh lebih baik. Kita sendiri sekiranya mempunyai kos sebanyak itu juga mampu menghasilkan karya sama dengan mereka. Apapun, pada saya faktor masa menyebabkan sebahagian besar penonton filem Malaysia tidak berkesempatan menyaksikan Kayangan.

Menerusi pemerhatian dibuat, ada pawagam lebih banyak menayangkan Kayangan pada waktu petang, menyebabkan ramai penonton sasaran sedang bekerja atau sibuk dengan kuliah. Mereka hanya boleh datang menonton pada waktu malam.

Sayangnya, apabila waktu malam, tayangannya sangat terhad dan mereka hanya memberikan satu panggung untuk Kayangan. Apabila panggung penuh dan tiada tayangan tambahan, orang terpaksa tengok filem lain. Pawagam seharusnya memberikan kerjasama agar kedua-dua pihak memperoleh keuntungan.



S: Apa tindakan RPSB apabila Kayangan mula dihentikan tayangannya oleh pihak pawagam?

J: Kami ada memohon kepada pihak pawagam melanjutkan tayangan Kayangan, namun kami faham pihak panggung sendiri harus akur dengan syarat wajib tayang dan harus menyusun tayangan filem lain yang sudah ditetapkan.

Cuma apa yang boleh kami lakukan, meminta pihak pawagam memberikan kebenaran untuk RPSB membuat tayangan khas kepada mana-mana individu atau badan korporat yang mahu mengadakan tayangan khas Kayangan. Pihak kami sendiri boleh membantu mengaturkan tayangannya jika ada penonton melebihi 100 orang yang mahu menyaksikan filem ini.



S: Apakah RPSB serik dengan perkembangan ini?

J: Ini cabaran dan asam garam dalam industri perfileman tempatan. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Kutipan rendah diterima Kayangan langsung tidak menghampakan kami, malah mendorong kami buat yang terbaik di samping memberi kepuasan kepada penonton dan pihak kami sendiri.



S: Bagaimana RPSB mahu mengembalikan modal RM2 juta yang dikeluarkan untuk Kayangan?

J: Kita sudah mengatur beberapa rancangan, termasuk mengeluarkan video cakera padat (VCD) disebabkan hasil daripada maklum balas penonton yang tidak sempat menyaksikan Kayangan di pawagam mahu menontonnya bersama keluarga.

Kayangan bakal ditayangkan di rangkaian terbaru Astro, Astro New Video on Demand dan Kayangan menjadi filem Melayu pertama disiarkan di rangkaian berbayar itu. Selain itu, kami turut mengedarkan album runut bunyi dan bagi menghangatkan lagi penghasilnya, kami akan mengedarkan himpunan khas klip video yang dimuatkan dalam album itu menampilkan artis popular seperti Datuk Siti Nuhaliza, Farah, Ning Baizura dan ramai lagi.



S: Apakah RPSB akan terus menerbitkan filem selepas ini?

J: Memang kami ada perancangan untuk menerbitkan lagi filem dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh bercerita lanjut. Tunggu sehingga segala perancangannya mendapat kata putus satu sidang media akan dibuat.

Carian Artikel
Lain-lain artikel :
Memey rebutan produser
Noor seronok jadi budak terencat
Nostalgia filem seram pertama
Cinta duda tak dapat restu ibu
Soseh-Soseh: Hans bengang dikatakan bercinta dengan Fasha
Erti Merdeka dua artis
Soseh-Soseh: Pengarah ‘angau’ rengek di lokasi
Rocker teruja sambut merdeka
Wayang kulit Merdeka

Hotels
 


VARIASI

it@Metro

Vroom

vroom

Bestari

bestari

Santai

santai

Ad-din

Addin

Dekotaman

deko

Ekspresi

Ekspresi

 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad