BELUMPUN filem Kayangan ditayangkan di pawagam,
bahangnya sudahpun terasa dengan pelancaran album runut bunyinya atau
'Kayangan The Soundtrack’ di Ballroom, Hilton KL Sentral di sini,
baru-baru ini.
Penerbitan album runut bunyi itu membabitkan
kerjasama Raden Pictures Sdn Bhd (RPSB), Wake The Baby Records (WTBR)
dan Maestro Records.
Album runut bunyi itu juga adalah
sebagai kesinambungan dari filem Kayangan arahan Raja Ahmad Alauddin
terbitan RPSB dan bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 9 Ogos
nanti.
Filem genre romantik komedi ini menampilkan barisan
pelakon berbakat besar seperti Nor Fazura Sharifuddin, Teuku Zacky
Azwar (Indonesia), Razali Hussin, Opie Zami, Eja, Dynaz Mokhtar, Nazril
Idrus, Julia Ziegler (Indonesia) dan Bienda.
Pengarah Urusan WTBR selaku penerbit album ini, Mohd
Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai berkata, Kayangan adalah
kisah percintaan remaja, kehidupan dan konflik yang wujud dalam sebuah
perhubungan yang sangat indah dan memerlukan pengorbanan.
“Filem ini menjanjikan satu pengalaman indah kepada penonton dan saya
pula menjanjikan rangkaian lagu yang mengasyikkan dengan penampilan
artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza (Menanti Pasti),
Ning Baizura (Ungkapan Terindah), Siti Sarah (Cara Yang Berbeza), Zahid
(Perlukah menampilkan Shazzy) dan Farah AF2 (Gembira Hidup Ini).
“Selain itu, penampilan artis naungan WTBR, Sad Angry Babies (Sabarlah dan Terakhir).
Lebih
bermakna, album ini juga menampilkan buat julung kalinya duet saya
dengan Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman (Tunku Mimi) menerusi lagu
tema filem ini, Kayangan,” katanya.
Ajai berkata, pembikinan
album runut bunyi itu mengambil tempoh dua bulan termasuk dari segi
perancangan, rakaman dan sebagainya lagi.
“Pihak kami percaya,
menerusi kerjasama dalam pembikinan filem dan album runut bunyi ini, ia
dapat membantu meningkatkan lagi pencapaian industri hiburan dan
perfileman tanah air ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Ajai
berkata, album yang diterbitkan WTBR itu mengandungi 11 lagu dan
sembilan lagu dalam album itu mendapat sentuhannya selaku komposer
album berkenaan.
“Tidak ketinggalan, album ini juga mendapat
sentuhan dari penulis lirik tidak asing lagi seperti Loloq, Abie
Abdullah dan Musa (Exists).
“Single pertama yang kami
tampilkan untuk pasaran Malaysia ialah Kayangan dendangan saya dan
Tunku Mimi dan single kedua ialah lagu dendangan Siti Sarah (Cara Yang
Berbeza). Manakala, single untuk pasaran Indonesia pula ialah lagu
dendangan Siti (Menanti Pasti).
“Album ini sudahpun menjengah
pasaran dan pihak Maestro pula bertanggungjawab dari segi pengedaran,
jualan dan promosi untuk album ini.
“WTBR juga
bertanggungjawab untuk menghasilkan klip video untuk semua lagu yang
terdapat dalam album ini,” katanya ketika ditemui selepas acara
menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) membabitkan RPSB,WTBR dan
Maestro Records.
Manakala, Pengarah Eksekutif RPSB, Tunku
Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar berkata, tumpuan dan komitmen 300
peratus diberikan dalam merealisasikan filem sulung mereka itu.
“Semuanya bermula bila isteri saya, Mimi Wahida memberikan idea untuk
menghasilkan sebuah filem mengisahkan percintaan antara dua insan
berbeza darjat dan situasi kehidupan.
“Dari sebuah skrip
cadangan ia diinterpretasikan kepada filem cereka penuh yang pastinya
bakal menghiburkan penonton di seluruh tanah air,” katanya.
Tunku Nadzaruddin berkata, pihaknya juga ingin menghasilkan filem yang
berkualiti dari segala aspek dan pada masa sama album runut bunyi yang
memuatkan lagu dari filem Kayangan.
“Alhamdulillah, akhirnya
kami berjaya mengharungi segala pahit getir bukan saja dalam
menerbitkan filem komedi romantik ini tetapi juga sebuah album runut
bunyi yang julung kali diterbitkan bagi filem tempatan.
“Gabungan barisan pelakon yang berbilang kaum termasuk dari Indonesia
juga membangkitkan elemen muhibah dan ia selaras dengan aspirasi negara
untuk membina teras muhibah merentasi budaya, bangsa dan agama. “Semoga
usaha ini mencetuskan peluang buat barisan pelakon tanah air untuk
menimba pengalaman berlakon dalam filem terbitan Indonesia, Singapura,
Thailand, Filipina dan negara lain pula pada masa depan sekali gus
merangsang peningkatan dalam industri perfileman tanah air,” katanya.
Tambah beliau lagi, album runut bunyi Kayangan itu mengandungi pelbagai
irama seperti balada, R&B, soul, hip-hop dan rock yang berjaya
digabungkan dalam sebuah album yang dijayakan artis tersohor dan
meningkat naik di persada seni tempatan.
“Album ini juga
sebagai jambatan yang dapat merapatkan jurang penerimaan rentak irama
antara golongan muda dan veteran,” katanya.
Katanya lagi,
dari segi pemilihan penyanyi yang menjayakan album runut bunyi itu
diputuskannya bersama isteri dan Ajai sendiri.
“Ajai buat
demo dulu dan selepas itu baru kami bertiga putuskan lagu yang mana
sesuai dengan range Siti, Siti Sarah dan artis lain yang kami tampilkan
dalam album ini.
“Mula-mula kami buat filem dulu dan selepas
itu baru kami cari lagu yang sesuai dimuatkan dalam album runut bunyi
filem ini,” katanya.
Sementara itu, Tunku Mimi pula berkata,
peluang berduet dengan Ajai dan bekerja dengannya di studio adalah
pengalaman baru buatnya.
“Saya suka menyanyi dan peluang menyanyikan lagu tema untuk Kayangan ini saya anggap cabaran yang tidak wajar dilepaskan.
“Saya juga mengambil masa satu minggu untuk berlatih menyampaikan dua
lagu iaitu genre rock dan versi orkestra. Saya suka kedua-duanya
sekali.
“Alhamdulillah, dengan bimbingan Ajai saya mampu melaksanakan seperti dikehendakinya,” katanya.
Namun begitu, Tunku Mimi berkata, dia tidak pula merancang untuk serius menyanyi pula selepas ini.
“Saya menyanyi hanya sekadar hobi saja dan mengisi masa lapang di rumah,” katanya.