Filem arahan Raja Ahmad alauddin buatkan pawagam riuh dengan gelak ketawa penonton
JIKA
ada yang beranggapan Kayangan sebuah filem cinta terhalang angkara dua
darjat yang berbeza, sila buang jauh-jauh andaian itu kerana ia
tidaklah seperti yang disangkakan. Memang benar filem ini memaparkan
kisah percintaan membabitkan golongan istana dan rakyat jelata namun
jalan ceritanya bukan seperti yang sering disogokkan kepada kita.
Boleh
dikatakan, Kayangan sebuah cerita romantik komedi yang cukup santai dan
ringan serta tidak membosankan. Dan filem keempat arahan Raja Ahmad
Alauddin ini amat sesuai ditonton mereka yang sedang asyik dilamun
cinta. Satu percubaan berani dari pengarah ini selepas menghasilkan
tiga karya sebelum ini iaitu Hati Bukan Kristal, Lurah Dendam dan Qaisy
dan Laila.
Walaupun mengakui pertama kali mengarahkan filem bercorak komedi
dan amat gentar menanti reaksi penonton ketika pratonton filem ini
bulan lalu, namun Raja sebenarnya tidak perlu risau kerana usahanya itu
nampaknya berhasil apabila pawagam riuh dengan gelak ketawa terutama
adegan lawak membabitkan lakonan Opie Zami.
Lakonan Nur Fazura
yang memegang watak Maseira nyata tidak perlu dipertikaikan kerana dia
berjaya menghidupkan wataknya dengan berkesan. Selamba dan ada kala
mampu membuat penonton terusik dengan penderitaan yang dialaminya
memberi impak kepada keseluruhan cerita.
Fazura benar-benar berbeza dengan watak yang pernah dipegangnya
sebelum ini. Cuma ada kelemahan dari segi ekspresi kerana ada ketikanya
ekspresi yang ditonjolkan Fazura tidak sampai kepada penonton. Mungkin
ini berlaku disebabkan proses penyuntingan kerana kalau dilihat dari
satu babak ke babak yang lain, ia berlaku begitu pantas.
Gandingan
Fazura dan Teuku Zacky yang juga pelakon utama filem ini nampak serasi.
Malah, lakonan pelakon dari Indonesia itu juga tidak mengecewakan
apabila watak sebagai Tengku Amir ditangani dengan baik. Sayangnya,
Teuku Zacky nampak terlalu berhati-hati ketika melafazkan dialog
sehingga lakonannya nampak sedikit keras. Ini barangkali ada kena
mengena dengan masalah sewaktu dubbing kerana difahamkan Teuky Zacky
tidak menggunakan suaranya sendiri sebaliknya meminjam suara pelakon
lain gara-gara loghat Indonesianya yang begitu pekat.
Selain
lakonan, filem ini juga mempunyai mutu sinematografi yang menarik.
Memilih lokasi Negeri Sembilan selain Kuala Lumpur turut menjadikan
filem ini seronok ditonton apabila banyak pemandangan yang cantik dan
indah dipaparkan. Begitu juga dengan penggunaan dialek Minang
mencantikkan lagi filem terbitan Raden Pictures ini.
Filem
tulisan Tengku Mimi Wahida Tengku Wahman ini juga dilatari dengan lagu
yang indah dan mengasyikkan menerusi album runut bunyi terbitan
komposer Ajai yang disampaikan artis popular tanah air antaranya Datuk
Siti Nurhaliza, Ning Baizura , Siti Sarah, Zahid dan juga Ajai sendiri
berpasangan dengan Tengku Mimi Wahidah menerusi lagu Kayangan.
Mula
menjengah pawagam di semalam, tidak keterlaluan andai dikatakan, inilah
filem cinta remaja yang dinantikan selepas Ali Setan yang diakui sebuah
filem cinta remaja malar segar. Rugi rasanya jika anda tidak
menontonnya.
SINOPSIS:
KAYANGAN memaparkan
kehidupan dua watak utamanya, Maseira (lakonan Fazura) dan Tengku Amir
(Teuku Zacky) yang datang dari latar belakang berbeza. Tengku Amir
menerajui dunia korporat di ibu kota manakala Maseira graduan yang
lebih rela memilih bekerja di bengkel bapanya di Kuala Pilah kerana
tidak mahu menjadi hamba kapitalis.
Takdir menemukan dua insan
berlainan darjat ini apabila motosikal dipandu Tengku Amir terbabas
selepas melanggar tahi lembu. Bagi membalas jasa baik keluarga Maseira
yang merawatnya, Tengku Amir menawarkan Maseira bekerja di syarikat
milik keluarganya.
Maseira cuba menyesuaikan diri dengan
persekitarannya. Dalam diam, gadis kampung ini menyimpan perasaan
terhadap Tengku Amir walaupun menyedari lelaki itu sudah pun bertunang.
INFO:
Filem: Kayangan
Pengarah: Raja Ahmad Alauddin
Pelakon: Nur Fazura Sharifuddin, Teuku Zacky Azwar, Razali Hussin, Opie
Zami, Dynaz, Siti Shahrizah, Nazril Idrus, Julia Ziegler, Bienda, Ziela
Jalil, Mustapha Kamal, Jalil Hamid
Genre: Romantik Komedi
Terbitan: Raden Pictures Sdn Bhd
Tayangan: 9 Ogos 2007