Arahan Mencetak: Pilih File dan seterusnya Print daripada Menu Browser anda. --- Informasi Artikel --- Artikel ini dicetakan dari http://mstar.com.my. URL Artikel: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_fb4a63ab-c0a85062-e6246600-a29a0a8d ---------------------------Kayangan buai penonton ke alam romantis
APABILA dikejutkan dari tidur pagi tadi oleh deringan jam loceng yang membingitkan telinga, hati saya meronta-ronta untuk tidur kembali.
Apa tidaknya? Sedang enak dibuai mimpi romantis bercinta dengan putera raja, jam loceng pula buat kacau!
Saya termenung memikirkan mimpi yang indah itu, terasa bagaikan saya benar-benar melalui pengalaman berkenalan, jatuh cinta dan dipinang seorang putera raja yang menjadi idaman setiap wanita.
Itulah sebenarnya penangan prebiu filem Kayangan yang saya tonton semalam di pawagam GSC, Mid Valley Megamall, Bangsar.

Lakonan Nurfazura dan Zacky begitu mengasyikkan
(Foto Raden Pictures)
Sememangnya saya memang tidak mengetahui tentang pembikinan filem yang dibintangi oleh Nurfazura Sharifuddin (Maseira) dan pelakon sensasi Indonesia Teuku Zacky Azwar (Tengku Amir) ini, maka saya melangkah masuk ke pawagam dengan hati yang terbuka dan tidak mengharapkan apa-apa.
Sebelum tayangan bermula, penonton disajikan dengan video klip lagu tema Kayangan dengan judul yang sama yang dinyanyikan oleh Ajai dan Tunku Dato' Seri Mimi Wahida Wahman yang juga bertindak sebagai penerbit dan juga pengilham filem yang bercorak romantik komedi ini.
Lagu yang pasti menjadi hit ini dinyanyikan dengan begitu indah oleh Ajai dan Tunku Mimi yang pertama kali merakamkan suaranya. Menurut Ajai, Tunku Mimi mempunyai tone yang baik dan boleh menyanyi.


Cinta melanda empat hati tetapi apakah kesudahan yang diinginkan oleh mereka?
(Foto Raden Pictures)
Tunku Mimi dan suaminya Tunku Dato' Seri Nadzaruddin ibni Tuanku Ja'afar merupakan tulang belakang kepada filem yang sedikit sebanyak memberikan gambaran sebenar kehidupan kerabat di-Raja di negara kita.
Kayangan mengisahkan kehidupan Maseira dan Tengku Amir yang jauh berbeza. Maseira adalah seorang gadis kampung tetapi berpendidikan tinggi manakala Tengku Amir yang kaya-raya pula menguruskan syarikat milik keluarganya.
Maseira dicintai oleh Badrul atau Abang B ( Razali Hussin) yang merupakan sepupunya dan Tengku Amir pula bercinta dengan seorang model, Erina (Dynaz Mokhtar) yang materialistik.
Satu peristiwa menemukan Maseira dan Tengku Amir dan semakin lama perhubungan mereka menjadi semakin intim tetapi masing-masing dibebani dengan masalah perhubungan yang sedia ada.

Tengku Alyssa yang kerap didera secara mental oleh Hairi
(Foto Raden Pictures)
"Mampukah cinta membawa ke sana?" - adalah tagline filem arahan Raja Ahmad Alauddin ini namun persoalannya yang diungkitkan iaitu adakah taraf hidup menjadi satu halangan agak menyimpang dari cerita yang dipertontonkan.
Masalah utama percintaan mereka adalah kerana kedua-duanya terlibat di dalam perhubungan dengan orang lain dan perbezaan taraf di dalam filem ini tidak banyak diolah atau menjadi fokus filem ini.
Menariknya juga, filem ini banyak mengundang pelakon-pelakon undangan VIP yang turut menyuntik semangat kepada filem ini. Pastikan anda buka mata anda luas-luas ketika menonton filem ini agar tidak terlepas siapa yang dimaksudkan.
Pelakon-pelakon yang lain juga tidak kurang hebatnya termasuklah Ziela Jalil, Jalil Hamid, Opie Zami, Siti Shahrizah, Julia Ziegler, Nazril Idrus, Louisa Chong, Dee (Jangan Ketawa), Mustapha Kamal dan Ahmad Busu.

Babak slapstick antara Dee dan Opie
(Foto Raden Pictures)
Sebagai filem romantik komedi, Kayangan mengutarakan lawak jenakanya di dalam pelbagai cara iaitu melalui dialog-dialog spontan dan adegan-adegan slapsticks, terutamanya melalui watak Tajul (Opie) dan Rizal Khuzaime atau Nina (Dee).
Namun begitu, Opie yang memang sinonim dengan watak pelawak perlu memikirkan sesuatu yang baru untuk meningkatkan tahap lakonannya kerana watak sidekick yang dilakonkannya di dalam filem kayangan ini tidak ubah seperti watak sidekick Hakimi di dalam filem Mr Cinderella.
Sesiapa yang biasa menonton persembahan komedi Dee pula akan tetap menyeringai dengan telatahnya yang 'original'.
Rata-ratanya, kesemua pelakon-pelakon Kayangan memberikan tahap lakonan yang memuaskan terutamanya watak-watak Maseira, Erina dan Hairie (lakonan Nazril Idrus).

Orang-orang kampung yang memberi suntikan realiti kepada filem Kayangan
(Foto Raden Pictures)
Pengolahan cerita Kayangan dilakukan dengan baik sekali dan di saat anda membuat ramalan apa akan terjadi di babak seterusnya, sesuatu yang lain pula berlaku di luar jangkaan anda.
Kayangan tidak membawa mesej yang berat dan tidak ada misteri disebalik mana-mana karektor. Ianya memang sesuai untuk ditonton oleh umum terutamanya mereka yang sedang dialam percintaan.
Walaupun pada asasnya filem ini mengisahkan percintaan antara Tengku Amir dan Maseira, namun mereka tidak bercinta di dalam filem ini kerana apa yang ditonjolkan adalah percintaan di antara Tengku Amir dan Erina yang begitu 'plastik', percintaan di antara Maseira dan Abang B yang sangat jujur mencintai sepupunya itu dan percintaan penuh drama di antara Tengku Alyssa (Julia Ziegler) dan Hairie yang oportunis dan suka membuli.
Mungkin ini resepi pembikin-pembikin filem kita kini bagi memastikan penonton-penonton kembali untuk menonton Kayangan 2, barangkali?
Sementara itu, biarkanlah saya terus dibuai mimpi-mimpi indah tentang putera raja yang akan membawa saya ke alam kayangan...
Kayangan akan ditayang di pawagam-pawagam mulai 9 Ogos
--- tamat ---