:: Muka Depan > GONG > m*Aduh > Eja tidak rela jadi penghias filem

GONG
m*Layar
m*Pentas
m*Aduh

kuali.com
m*Aduh
Eja tidak rela jadi penghias filem
10-10-2006 12:12:59 PM
oleh WAHIDA ASRANI

Sembilan tahun berkecimpung di dalam bidang lakonan, hanya lima buah filem sahaja yang pernah dibintangi oleh aktres jelita ini. Itupun kebanyakan filem tersebut hanya menyaksikan dirinya memegang watak pembantu sahaja.

Mungkin sesuatu yang memeranjatkan buat kita, namun tidak bagi tuan punya diri, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja.

Sehingga hari ini, wajahnya hanya sering menghiasi drama-drama di televisyen, terutamanya untuk slot Samarinda di saluran TV3. Kekerapan Eha menghias slot Samarinda sampaikan ada suara nakal yang menggelarkannya 'Ratu Samarinda'.

Eja tidak kisah digelar 'Ratu Samarinda' (Foto The Star oleh Kamarul Ariffin)

Bagi aktres berusia 33 tahun ini, tiada langsung tercalit perasaan tidak puas hati. Baginya, tawaran untuk berlakon drama yang tidak putus-putus diterimanya sudah cukup membuktikan bakatnya masih dihargai.

"Biarlah peluang itu sikit asalkan setiap kali kemunculan kita, orang akan ingat sampai bila-bila lakonan yang kita bawakan. Saya tidak mahu hanya jadi 'penghias' di dalam sebarang filem ataupun drama.

"Saya ingin jadi seperti watak yang saya bawakan dalam drama Mya Zara, kerana sampai hari ini pun jika sebut tentang 'Mya Zara', ramai yang masih ingat saya yang melakonkan watak itu," ujarnya yang ditemui ketika hadir di Menara Star, baru-baru ini.

Ditanya tentang tawaran filem yang kurang diterimanya, pelakon yang juga merupakan seorang pengacara dan model ini berkata, faktor usia juga mungkin membuatkan dirinya kurang ditawarkan berlakon filem.

"Dalam usia 30an ini, mungkin tidak sesuai diberikan watak utama untuk filem, sebab itu jika ada tawaran pun lebih kepada watak pembantu sahaja. Tetapi, secara jujurnya saya tidak pernah rasa kecewa.

"Saya masih bernasib baik kerana mendapat banyak tawaran untuk pegang watak utama di dalam drama. Sebab itu saya tidak pernah ambil peduli bila orang cakap saya hanya layak jadi heroin drama, atau untuk slot Samarinda saja, kerana yang penting saya gembira dengan kerjaya saya," kata Eja yang kini popular dengan drama Seputih Qaseh Ramadhan yang sedang disiarkan di TV3.

Setakat ini, lima buah filem yang dibintangi oleh Eja ialah Sara, Anak Mami The Movie, Bilut, Misi 1511 dan yang terbaru, Kayangan, gandingannya bersama Fazura dan pelakon Indonesia, Teuku Zacky.

Bercerita tentang filem Kayangan yang akan ditayangkan pada tahun hadapan, Eja berkata kali ini dia membawakan watak Suraya, seorang yang tidak disukai ramai kerana sikapnya yang suka mementingkan diri sendiri.

"Saya jarang bawa watak negatif seperti ini kerana peminat saya sendiri tidak suka. Mereka lebih suka saya pegang watak perempuan yang baik dan lemah-lembut. Tetapi, saya suka mencuba pelbagai watak kerana saya ingin lihat kemampuan sebenar saya," tambahnya.

Tubuh syarikat produksi sendiri

Dalam diam-diam pelakon ini turut mengikuti jejak langkah rakan artis yang lain dengan menubuhkan

Walaupun bergelar artis, Eja tetap menyambut raya secara sederhana setiap tahun (Foto The Star oleh Kamarul Ariffin)

syarikat produksi sendiri, Eja Productions Sdn Bhd yang terletak di Puchong.

"Ia baru saja ditubuhkan beberapa bulan lepas dan setakat ini, belum ada sebarang projek lagi dibuat. Tetapi, saya bercita-cita untuk berlakon di dalam produksi terbitan saya sendiri satu hari nanti," kata Eja.

Menurut Eja, idea untuk menubuhkan syarikat produksinya sendiri merupakan salah satu perancangan dirinya untuk masa depan.

"Kita kena juga bersiap-sedia untuk hadapi sebarang kemungkinan kelak. Sebagai artis, kita memang tidak boleh jangka apa yang akan berlaku, mana tahu satu hari nanti tiada lagi tawaran yang kita terima,” katanya.

Sambut raya secara sederhana

Setiap tahun, tiada kelainan yang akan dilakukan oleh Eja tatkala tibanya Aidilfitri. Walaupun bergelar artis, pelakon ini tetap meraikan Hari Raya secara sederhana bersama ahli keluarganya yang lain.

"Tahun ini, saya akan menyambut Hari Raya di rumah adik perempuan saya di Puchong. Kemudian, baru kami sekeluarga akan menziarahi saudara-mara lain di Perak dan Pulau Pinang. Itu adalah rutin setiap kali raya," ujarnya yang tidak selesa menceritakan statusnya.

Tentang persiapan raya pula, menurut Eja, seperti tahun-tahun terdahulu, dia akan membeli dua pasang baju dari butik kegemarannya, Iszal Citra Butik.

Dan tambahnya lagi, untuk sambutan Syawal tahun ini dia memperuntukkan kira-kira RM3,000.

"Jumlah itu semua termasuk untuk kuih raya dan duit raya untuk kanak-kanak. Saya rasa, RM3,000 itu mencukupi," kata Eja sambil tersenyum.

Dalam pada itu, pelakon ini juga turut melahirkan rasa terharunya dengan pemberian kad raya oleh peminat-peminatnya.

"Tahun ini, banyak sangat kad raya saya dapat. Jika berkesempatan, saya akan cuba balas kesemuanya. Terima kasih kepada semua yang sudi mengirim kad kepada saya," tambahnya.







Versi Cetakan Hantar Kepada Kawan

Rencana

50 tahun hubungan M'sia-AS penuh dugaan
17-08-2007

Undian

 
Adakah modul kursus perkahwinan yang diwajibkan ke atas pasangan yang ingin berkahwin sekarang lebih bersifat mencari keuntungan?
Ya, kebanyakannya
Tidak, cajnya berpatutan
The Star Online Suria FM: Lagi Panas Beb! Classifieds Online Tech-Central Global Malaysians Network ANN
MUKA DEPAN
 TERKINI
 GONG
 KOMUNITI
KENALI KAMI